UNIC SAH JALINKAN KERJASAMA, INTEAM YAKIN PEMINAT KEKAL SOKONGAN CAPAI SASARAN BANTU 500,000 PENERIMA MANFAAT SEPANJANG RAMADAN
Kuala Lumpur: Kumpulan nasyid tanah air, UNIC yang dianggotai oleh Fakhrul, Bazli serta Dr. Fitri Haris sah menjalinkan kerjasama sebagai Ikon Kemanusiaan Muhibbah bersama sebuah organisasi tidak berasaskan keuntungan (NGO) Pertubuhan Peduli Insan Malaysia.
Pertubuhan Peduli Insan Malaysia yang memasuki tahun ke 12 dalam usaha-usaha menggerakkan bantuan kepada negara-negara bergolak khususnya Syria, berharap dengan penglibatan UNIC sebagai salah seorang Ikon Kemanusiaan Muhibbah mereka dapat membantu untuk menyebarkan advokasi dan kesedaran berkaitan negara-negara yang sedang dilanda krisis kemanusiaan akibat perang seperti Syria serta Palestin.
“Alhamdulillah, saya sebelum ini memang pernah mengikuti misi yang dilakukan ketika Bantuan Musim Sejuk Syria pada tahun 2021 dan saya lihat bantuan yang diperlukan oleh pelarian Syria amat mendesak terutama dari segi makanan dan barangan keperluan asas. Idea untuk bekerjasama secara berkumpulan muncul apabila saya secara rasmi kembali bersama UNIC pada Julai 2022 dan Alhamdulillah bermula Ramadan ini, UNIC telah menjadi salah sebuah Ikon Kemanusiaan Muhibbah Peduli Insan dan kami amat berharap sokongan daripada peminat dan rakan artis serta rakan media.”
Tambah Dr. Fitri Haris lagi, yang sebelum ini pernah menjalani misi Bantuan Musim Sejuk Syria di kem pelarian Syria, Lebanon mengatakan beliau sangat terkesan dengan keadaan kehidupan pelarian Syria yang semakin menderita walaupun tanpa ada peperangan berikutan kesan dari perang yang terjadi lebih 12 tahun lalu membuatkan mereka menjadi dhaif sekelip mata apabila terpaksa meninggalkan segalanya demi menyelamatkan nyawa mereka dan anak-anak.
Manakala Inteam sebelum ini, yang sudah memasuki tahun ke 4 dalam menjadi Ikon Kemanusiaan Muhibbah Peduli Insan berasa amat gembira dengan penglibatan rakan nasyid UNIC. Inteam kini sedang giat memperluaskan usaha untuk meraih dana sumbangan bagi Kempen Infaq Ramadan (12) yang mensasarkan bantuan sepanjang Ramadan sebanyak 500,000 penerima manfaat di kem pelarian Syria serta di Gaza, Palestin terutama bagi bantuan berbentuk juadah iftar serta sahur.
Menurut Hazamin Harun, beliau berkongsi mengenai bantuan Ramadan yang telah mula diagihkan bermula 1 Ramadan dan bantuan ini akan diteruskan kepada musim Hari Raya Aidilfitri bagi kelengkapan makanan serta bantuan lain seperti kesihatan dan pakaian baharu.
“Peduli Insan telah menghantar bantuan kepada lebih 350,000 penerima manfaat berbentuk set makanan lengkap dengan agihan kurma serta air minuman yoghurt atau dikenali sebagai Laban di Syria. Segala persiapan ini dilakukan oleh pasukan Peduli Insan sendiri di dapur terbesar mereka di utara Syria yang boleh dimaksimumkan sehingga 10,000 juadah makanan pelbagai. Akan tetapi, saya dimaklumkan sumbangan masih perlahan menyebabkan kapasiti penuh dapur ini belum lagi dapat dicapai.”
Mengambil peluang merebut pahala Lailatul Qadar, yang lebih baik dari 1,000 bulan marilah kita bersama-sama merebut pahala untuk memberi orang makan di dalam bulan Ramadan. Moga-moga usaha ini diterima Allah SWT dan diberikan rezeki berjumpa di Ramadan akan datang, insyaAllah. Bagi mereka yang ingin mengetahui mengenai kemaskini persiapan memasak dan agihan yang dilakukan bagi bantuan sepanjang Ramadan ini dan juga kempen-kempen lain, boleh layari laman sosial Peduli Insan https://www.facebook.com/peduliinsan.my
Bagi para pembaca yang ingin turut sama berkongsi rezeki, boleh sumbangkan melalui akaun rasmi Pertubuhan Peduli Insan Malaysia bernombor 0704 3011 0620 82 (Bank Islam). Bagi sebarang pertanyaan atau tajaan bantuan boleh hubungi nombor talian 013-3968840 atau 017-7444595.